Monday, 08 April 2013 00:00

BAHAS ALA PARLIMEN SMART JOHAN NEGERI

Written by 
Rate this item
(0 votes)

TUALANG TEMERLOH 5 - 7 APRIL: Alhamdulillah, segala puji-pujian dan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaanNya yang tidak ternilai. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat Baginda. Dengan keizinanNya, akhirnya apa yang dicari menjadi realiti, bukan lagi mimpi di siang hari.

 

Memikul tanggungjawab sebagai pasukan Bahas Ala Parlimen Daerah Kuantan, kami melangkah gagah meneruskan perjuangan di SMK Seri Tualang, Temerloh, Pahang pada 5 hingga 7 April 2013 dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri Pahang 2013.

 

Peringkat awal dengan usul Kelulusan Akademik Menjamin Kejayaan Dalam Kerjaya, kami bertempur dalam medan perbahasan melawan Daerah Cameron Highlands seawal jam 9 malam pada 5 April 2013. Kami mewakili Daerah Kuantan bertindak selaku pembangkang, manakala Daerah Cameron Highlands berada di pihak kerajaan. Walaupun keletihan mencengkam kami, namun perjuangan tetap diteruskan dan alhamdulillah usul Kelulusan Akademik Menjamin Kejayaan Dalam Kerjaya ditolak, bermakna kemenangan berpihak pada kami malam itu.

 

Perjuangan diteruskan pada peringkat suku akhir pada hari berikutnya lebih kurang pada jam 11 pagi. Usul pada peringkat ini berbunyi, Pengguna Mampu Menangani Kenaikan Harga Barang. Pada peringkat ini, kami berperanan sebagai pihak kerajaan manakala Daerah Raub bertindak selaku pihak pembangkang. Alhamdulillah, kemenangan milik kami apabila usul diterima. Ini bermakna kami layak ke peringkat separuh akhir.

 

Debaran kian terasa, di peringkat separuh akhir inilah yang bakal menentukan asakan dari daerah mana yang bakal mara ke peringkat akhir. Daerah Kuantan melawan pasukan dari Daerah Temerloh B. Cabaran kian terasa, kami berusaha yang terdaya, segalanya diserahkan hanya pada Yang Esa. Pada peringkat ini, dengan usul Penganjuran Sukan Bertaraf Dunia Meningkatkan Mutu Sukan Negara, pasukan dari Daerah Temerloh B memegang tampuk kepimpinan sebagai pihak kerajaan manakala kami memainkan peranan selaku pihak pembangkang. Persaingan sengit antara kami kerana diakui pasukan lawan sama hebat, sama mantap namun alhamdulillah sekali lagi kemenangan memihak kepada kami apabila usul ditolak. Ini bermakna kami berjaya melangkah ke peringkat akhir yang bakal menentukan pasukan yang akan mewakili Negeri Pahang ke Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan di Sibu, Sarawak pada akhir Jun nanti.

 

Jantung terus berdegup kencang, inilah saat untuk berperang, terus mara untuk menang, tiada pilihan untuk kecundang. Tepat jam 8.30 pagi, kami melangkah ke Dewan Utama SMK Seri Tualang beriringan dengan pasukan lawan dari Daerah Pekan diwakili pembahas SMK Ahmad, Pekan diiringi alunan gamelan dan sorakan seisi dewan. Kami berada di posisi kiri pentas memandangkan kami bertindak sekali lagi selaku proksi pembangkang dan sebelah kanan pentas dipenuhi posisi menteri dari kabinet pihak kerajaan pasukan lawan. Dengan usul Aplikasi Teknologi Hijau Merakyatkan Budaya Inovasi, dengan penuh keyakinan kami terus membangkang tanpa sedikit gentar dengan pasukan lawan biarpun merekalah Johan tanpa sebarang kekalahan selama dua tahun berturut-turut dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri sebelum ini. Sesi penggulungan, dewan perbahasan ditangguhkan. Majlis penutup dan penyampaian hadiah bermula. Keputusan dewan sebentar tadi bakal diumumkan di akhir majlis penutup. Kami menunggu dengan penuh kesabaran dan pengaharapan hanya pada-Nya. Jika ini yang terbaik buat kami, Allah SWT pasti berikannya kepada kami. “Dengan ini, usul Aplikasi Teknologi Hijau Merakyatkan Budaya Inovasi ditolak”. Subhanallah, alhamdulillah, Allahu Akbar, kemenangan milik kami. Air mata kegembiraan terus merembes keluar tanpa segan silu, inilah kejayaan yang ditunggu, bakal membawa kami terbang berjuang ke Sibu.

 

Pahit getir perjuangan dari tangga permulaan di peringkat Daerah yang telah berlangsung di SMK Bukit Rangin, Kuantan pada 27 dan 28 Februari 2013, diteruskan lagi pada peringkat Negeri di SMK Seri Tualang, Temerloh pada 5 hingga 7 April 2013. Syukur dengan kurniaan-Nya, semoga kami berjaya di peringkat kebangsaan pada akhir Jun nanti di Sibu, Sarawak. Keluarga bahas sentiasa di hati, menjadi inspirasi agar kejayaan dikecapi, tiada rahsia di sanubari kerana kalian benar kucintai demi Ilahi.

 

Barisan pembahas diketuai pembahas pertama, Muhammad Hafizuddin bin Abu Bakar (Perdana Menteri/Ketua Pembangkang) dari kelas 5 Sains Jujur, empunya diri, pembahas kedua, Nur Liyana Husna binti Kamarunzaman (Menteri Kedua/Pembangkang Kedua) juga dari kelas 5 Sains Jujur, pembahas termuda dalam kalangan kami, pembahas ketiga, adinda Muhammad bin Abdul Majid (Menteri Ketiga/Pembangkang Ketiga) dari kelas 3 Jujur, pembahas keempat, Amira Aida binti Zaharuddin (Menteri Keempat/Pembangkang Keempat) dari kelas 5 Sains Cemerlang dan yang terakhir pembahas kelima, Mohammad Zaim bin Mohd Yusoff (Menteri Kelima/Pembangkang Kelima) dari kelas 5 Sains Jujur.

 

Pembahas simpanan pula ialah adinda Nurul Syafiqah inti Abdul Samat dari kelas 3 Jujur dan adinda Nurmisya Asyiqin binti Mohd Yazid dari kelas 3 Kreatif. Tidak pernah terlintas untuk dilupakan bonda kami yang tersayang, Puan Yuzailen binti Mohd Yusof dan Puan Nornilawati binti Shahrudin. Kasih sayang kalian melayani kami umpama anak sendiri tidak mampu kami balas walau dengan jongkongan emas, kalian tetap nombor  1 di hati kami, tanpa kalian kami hanya layak ditolak tepi, langsung tidak mampu mewakili negeri.

 

Jika di peringkat daerah, saya selaku pembahas kedua mengungguli sebagai Pembahas Terbaik namun pada peringkat negeri ini, semua tempat Pembahas Terbaik disapu bersih oleh adinda Muhammad bin Abdul Majid. Usia bukan kayu pengukur kematangan namun sikap dan usaha diri yang membezakan. Tiada apa yang mustahil untuk dicapai jika usaha dicanai dan istiqamah tanpa kenal erti penat dan lelah.

 

Semoga kejayaan ini menjadikan kami hamba Allah SWT yang bersyukur, berusaha memastikan semangat terus dilentur tanpa niat untuk berundur. Hakikat kehidupan adalah perjuangan, hakikat perjuangan adalah kejayaan dan hakikat kejayaan adalah mereka yang berani ke depan menyahut cabaran. Insya-Allah kami pasti melakukan yang terbaik dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan di Sibu Sarawak pada akhir Jun nanti, doakan yang terbaik buat kami di dunia dan akhirat.

 

 

522096_527200447342817_1819451868_n.jpg555827_527516707311191_721928668_n.jpg575791_527124327350429_935853635_n.jpgdsc01138.jpgdsc01145.jpgdsc01153.jpgdsc01160.jpgdsc01163.jpgdsc01166.jpgdsc01168.jpgdsc01169.jpgdsc01173.jpgimg_4647.jpgimg_4648.jpgimg_4668.jpg

 

Dalam usaha menyemat cinta buat SMART,

Nur Liyana Husna binti Kamarunzaman (5 Sains Jujur)
(Pembahas Kedua Pasukan Bahas Ala Parlimen SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan, Pahang)

 

 

Read 1096 times Last modified on Friday, 03 May 2013 09:37
Super User

Webmaster SMART