Thursday, 20 December 2012 11:38

PMR 2012 : SMART SEKOLAH TERBAIK DI PAHANG

Written by 
Rate this item
(12 votes)
KUANTAN 19 Dis. - Perancangan teliti dan melatih pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib (SMART) muncul sekolah terbaik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
 
Pengetuanya, Bahtiar Sanusi berkata, beberapa program telah disusun sejak awal tahun ini bagi membolehkan para pelajar mengikuti pembelajaran dengan berkesan.
 
Menurutnya, antara aktiviti dilakukan ialah memperkenalkan kelas khas terhadap pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu, latihan tubi dan kelas tambahan pada hujung minggu.
 
"Kerjasama semua guru dalam memberi bimbingan dan pelajaran kepada para pelajar membuahkan hasil apabila keputusan yang dicatat amat membanggakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
 
Sekolah tersebut muncul sekolah terbaik apabila memperoleh keputusan Menguasai Semua Mata Pelajaran (MSMP) 100 peratus dengan 126 pelajarnya memperoleh A bagi semua mata pelajaran dan memperoleh 1.10 mata bagi Gred Purata Sekolah (GPS).
 
Bahtiar berkata, para guru memberi komitmen tinggi dan sanggup bekerja lebih masa selepas waktu persekolahan bagi melihat para pelajar mereka mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.
 
Tambahnya, pengorbanan yang ditunjukkan oleh para guru selain kesungguhan para pelajar mengikuti setiap program dianjurkan ternyata berbaloi kerana usaha meningkatkan kualiti pendidikan membuahkan kejayaan.
 
"Inilah keputusan terbaik dicatatkan sekolah ini dan berharap semua pihak terus memberikan komitmen dalam melahirkan pelajar cemerlang pada peperiksaan penting nanti," katanya.
 
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Sumber : http://www.abihulwa.blogspot.com/
Read 1207 times Last modified on Thursday, 03 January 2013 16:11
Super User

Webmaster SMART